Suhu yang dicatatkan di Taman Negara Death Valley, California, Amerika Syarikat(AS), mencecah 54.4 darjah Celcius pada Ahad lalu dipercayai merupakan suhu paling panas pernah dicatatkan di dunia ini.

Menurut laporan BBC, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS masih mengesahkan catatan berkenaan.

Difahamkan, perkara itu terjadi berikutan gelombang cuaca panas yang melanda pantai barat negara berkenaan dan suhu dijangka semakin meningkat minggu ini.

“Ini adalah haba yang amat menyeksakan,” kata Brandi Stewart, seorang petugas di taman negara berkenaan kepada BBC,” ujar pekerja taman negara itu yang dikenali sebagai Stewart.

Sebelum ini, Stewart bekerja dan tinggal di taman negara itu dalam tempoh berkala untuk selama lima tahun.

“Apabila anda berjalan di luar, anda akan berasa seperti ada beberapa pengering rambut dihalakan terhadap muka anda,” jelasnya.

“Anda akan berasa seperti berada di dalam ketuhar dan gelombang haba di seluruh badan anda,” katanya.

Terdahulu, cuaca paling panas di dunia direkodkan di taman negara sama pada 2013 iaitu pada 54 darjah Celcius.

Selain itu, pihak berkuasa meramalkan gelombang haba akan meliputi kawasan dari Arizona di barat daya menghala ke arah pantai di Washington di barat laut negara itu.

Malah, gelombang haba tersebut dijangka berlarutan sehingga sekurang-kurangnya 10 hari lagi.

Situasi itu turut menyumbang kepada masalah kebakaran hutan dalam negara berkenaan.

Sumber: Harian Metro