Kita mesti pernah terfikir kenapa tiada jalan lebuhraya lurus sahaja tanpa selekoh di dunia ini untuk memudahkan perjalanan. Namun, kita sedia maklum bahawa ianya agak sukar untuk membina jalan lurus kerana keadaan muka bumi yang tidak rata.

Sebuah lebuhraya di Arab Saudi mencipta rekod sebagai jalan paling lurus dan terpanjang di dunia dengan jarak sejauh 256 kilometer.

Untuk pengetahuan anda, lebuhraya tersebut menghubungkan bandar Haradh ke Al Batha berhampiran sempadan Emiriah Arab Bersatu(UAE) itu sering digunakan untuk kerja penghantaran barang, lapor Stepfeeed.

Difahamkan, pemanduan di Lebuh Raya 10 akan memberikan pengalaman berbeza kepada pengguna kerana keadaannya yang terlalu sunyi apabila terletak di sebuah kawasan gurun paling tandus hingga tidak ada hidupan lain yang ditemui di situ.

Malah, keadaan jalan yang lurus dengan pemandangan yang kosong itu sudah tentu akan menguji keupayaan mana-mana pemandu daripada terlena.

Lebuhraya tersebut mungkin hanya dapat menjanjikan satu pengalaman memandu yang membosankan kerana terpaksa menghabiskan perjalanan beratus kilometer yang memakan masa hampir tiga jam di atas laluan lurus dengan pemandangan yang kosong.

Tetapi, sesetengah kumpulan pengembara menganggap laluan tersebut sebagai pengalaman baru apabila ramai memilih untuk bergerak menerusi jalan darat dari bahagian tengah dan barat Arab Saudi ke UAE.

Walau bagaimanapun, Lebuh Raya 10 itu bukanlah betul-betul lurus hingga ke penghujung jalan kerana terdapat sedikit selekoh tidak jauh dari Al Batha.

Sumber: Harian Metro