Semalam, pengumuman pelantikan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan baru, Tengku Maimun, dibuat oleh pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mencatat sejarah negara apabila menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan yang berkuatkuasa semalam.

Gambar sekadar hiasan

Dalam kenyataan tersebut, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, telah memperkenankan pelantikan tersebut berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan oleh Pejabat
Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” tulis kenyataan tersebut.

Selain itu, kenyataan media berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Richard Malanjum di atas segala khidmat baktinya sepanjang menjadi Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Untuk pengetahuan anda, perkhidmatan Richard sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan berakhir pada 12 April lepas setelah berusia 66 tahun dan 6 bulan.

Sumber: Astro Awani