Audio “Laurel or Yanny” selalu dipertikaikan kerana ada di antara kita dengar ia sebagai Laurel dan sebahagian lagi dengar Yanny.

Malah, audio ini tular di seluruh dunia hinggakan mencetuskan kekeliruan yang agak serius kerana masing-masing mahu tahu apa jawapan sebenar audio ini.

Segalanya bermula daripada seorang remaja yang berusia 15 tahun dari Atlanta berkongsi audio tersebut di Instagram miliknya pada 11 Mei lepas.

Malah, akaun Facebook Public Health Malaysia (PHM) juga ada memuatnaik audio tersebut dan membuat undian apa yang rakyat negara ini dengar sama ada ia Laurel atau Yanny.

Menurut PHM, jawapan sebenar audio tersebut adalah Laurel tetapi disebabkan oleh kualiti audio, sensitiviti pendengaran dan bagaimana minda menterjemah sesuatu bunyi membuatkan ada yang mendengar sebagai Yanny.

“Ada pakar berpendapat bahawa apa yang anda dengar bergantung kepada jenis peranti, fon telinga dan pembesar suara yang digunakan,” tambah PHM.

“Orang yang lebih muda, pada umumnya lebih cenderung mendengar Yanny, sementara orang yang lebih berusia mungkin cenderung untuk mendengar Laurel,” menurut profesor audiologi Universiti Minnesota, Benjamin Munson.

Walau bagaimanapun, semua hipotesis ini belum dibuktikan lagi secara saintifik dan kajian mendalam harus dilakukan untuk mengetahui punca kekeliruan audio tersebut.

Sumber: mStar