Walaupun dirinya sentiasa dipandang serong kerana minat yang mendalam terhadap barangan terpakai, namun lelaki ini tetap meneruskan hobinya menghias halaman rumah dengan mempamerkan televisyen, kipas, komputer dan jam dinding yang rosak di Kampung Paloh Nyiur, Kuala Berang, Terengganu.

Bekas anggota tentera, Abdul Manat Ibrahim, 57 tahun, pernah diejek gila oleh orang yang tidak mengetahui minatnya yang bermula sejak 18 tahun lepas.

“Hingga kini lebih 16 unit kipas, 12 unit televisyen, 10 jam dinding dan empat komputer, selain barang buangan lain menghiasi perkarangan rumah dan semua barangan ini diberikan kenalan yang tahu minat saya,” ujarnya.

Lama-kelamaan, rakan-rakannya mula memahami minatnya terhadap barang-barang terpakai itu dan kata-kata seperti ‘masuk air’, ‘gila’ tidak lagi dikatakan kepadanya.

“Ramai juga yang memberhentikan kenderaan untuk mengambil gambar di sini, dan saya tidak pernah melarang mereka berbuat demikian. Saya tidak simpan dalam hati mereka yang mencaci saya kerana hobi ini,” tambahnya.

Menurutnya, barang-barang yang dipamerkan di halaman rumahnya itu mampu menghilangkan tekanan seharian jika dia melihatnya dan akan meneruskan hobi pelik itu walaupun dipandang serong oleh masyarakat.

Walau bagaimanapun, Manat bersyukur kerana kesemua anaknya tidak pernah menghalang hobinya, malah hobi tersebut dikongsi bersama mereka yang cintakan seni dan barangan lama.

Sumber: Harian Metro