Salah satu makanan yang wajib ada pada hari raya adalah lemang. Sekarang ni dah macam-macam cara kreatif yang kita boleh cuba untuk hasilkan sendiri lemang di rumah tanpa menggunakan buluh.

Guna resepi yang sama macam lemang biasa, cuma diolah sedikit menggunakan bahan yang lebih mudah iaitu menggantikan buluh dengan tin aluminium atau cawan kertas.

Resepi Lemang Guna Tin Aluminium

Berikut adalah resepi yang dikongsikan oleh Puan Nor Shafidah Mohamad.

Senarai bahan-bahan yang diperlukan adalah:

Bahan-bahan

-beras pulut 3 kilo
-santan 2 kilo
-garam secukup rasa
-tin minuman / cawan kertas
-daun pisang
-air secukupnya (agak-agak)

Cara-cara

1. Basuh Beras Pulut

Pertama sekali, kita basuh beras pulut macam biasa.

2. Rendam Beras Dalam Santan

Kemudian, rendam dengan santan dan air.

Tambah garam secukup rasa.

Biar pulut terendam dalam lebih kurang 1/2 jam.

3. Lapikkan Daun Pisang Dalam Tin Minuman

Seterusnya, bersihkan daun pisang dan masukkan ke dalam tin minuman yang telah dibersihkan atau cawan kertas.

4. Masukkan Pulut

Lepas tu bolehlah masukkan pulut ke dalam tin sampai paras yang dikehendaki. Biasanya isi sampai 3/4 je supaya tak penuh sangat dan terkeluar bila masak nanti.

Sambil tu masukkan santan sampai menutupi atau sama paras dengan pulut tadi. Jangan lebih sangat ya nanti lembik.

5. Bakar

Akhir sekali, bakar dalam oven selama 1 1/2 jam dgn suhu 180c .

Guna api atas dan bawah.

SIAP!

Mudah kan? Boleh lah dimakan bersama rendang di pagi raya nanti.

Sumber: Sirap Limau