Gambar : Foodadvisor

Nasi dagang merupakan hidangan hidangan nasi tradisi yang terkenal di Pantai Timur iaitu di Terengganu, Pahang, Kelantan dan beberapa buah daerah di Thailand seperti Pattani, Yala, dan juga Narathiwat.

Secara tradisinya, nasi dagang biasanya dimakan untuk sarapan pagi dan pada perayaan istimewa, seperti pada pagi hari raya. Hidangan ini telah menjadi terkenal dan kini dimakan sepanjang masa.

Ada yang mengatakan nasi dagang kelantan dan nasi dagang terengganu adalah sedikit berbeza dan ada pula yang mengatakan bahawa kedua-duanya adalah sama. Namun begitu, nasi dagang kelantan dan terengganu mempunyai penggemarnya yang tersendiri.

Selain daripada gulai ikan tongkol, kuah gulai udang dan ikan kayu juga boleh dimasak dan dimakan bersama nasi dagang.

Resepi Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol

Bahan-bahan

3 cawan beras Basmathi atau beras biasa direndam
1 cawan pulut direndam
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
Sedikit halba
3 ulas bawang merah dihiris halus
1 atau 2 inci halia dihiris halus
3 helai daun pandan
Garam dan gula sedikit

Cara Masak Nasi Dagang

1. Beras Basmathi dan pulut direndam selama 2 jam atau lebih lama lagi bagus.

2. Kukus beras dan pulut selama 20 minit.
3. Keluarkan beras dan pulut dan masukkan ke dalam mangkuk besar. Sementara itu juga, keluarkan periuk dan lapik dengan daun pandan.

Daun pandan dilapik di dalam periuk sebelum nasi dimasukkan

4. Kemudian tuangkan santan cair dan gaul rata bersama beras, pulut dan santan sehingga sebati. Biarkan sekejap sehingga meresap.
5. Kukus sekali lagi dalam 20 sehingga 30 minit.
6. Setelah lebih kurang 10 minit, masukkan hirisan bawang, halia dan taburkan halba dalam periuk kukusan.

Nasi dagang yang telah siap dimasak bersama bahan-bahannya

7. Keluarkan kali kedua dan gaulkan dengan santan pekat sehingga rata dan nampak macam berminyak berkilat. Tak perlu habiskan santan jika nasi sudah lembut. Nasi siap untuk dihidang.

Jangan risau jika nasi nampak macam tak berapa masak, tambahkan lagi santan cair dan gaul.

Resepi Gulai Ikan Tongkol

Bahan-bahan

1 ekor ikan tongkol dipotong empat
Santan kelapa (2 biji) campur dengan santan cair, anggaran dalam 1 liter
1 paket rempah Cap Bunga Ros (15gram)
3 atau 4 sudu rempah gulai Cap Bunga Ros
1 biji bawang besar dikisar
2 biji bawang putih dikisar
1 inci halia (lebih pun boleh) dikisar
1 inci lengkuas dihiris
5 sudu cili kisar, nak lebih pun boleh
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 asam keping
1 batang kayu manis
1 inci belacan
5 biji cili padi untuk ditabur dalam gulai
3/4 biji belimbing buluh dipotong dua/tomato dipotong 4
Sedikit kerisik
Garam dan gula melaka secukup rasa
2 atau 3 biji telur yang sudah direbus

Cara Masak Gulai Ikan Tongkol

Gambar : Cvaristonkupang

1. Rebus ikan tongkol dengan asam keping dan sedikit garam sehingga mendidih. Air rebusan jangan dibuang.

2. Tumis cili, kemudian masukkan semua bahan kisar bersama kayu manis dan asam keping.
3. Masukkan jintan manis, jintan putih, ketumbar, rempah Cap Mawar dan rempah gulai Cap Bunga Mawar. Gaul rata dan masukkan santan.
4. Bila dah mendidih masukkan ikan yang direbus sekali dengan air rebusan. Jumlah air rebusan itu bergantung kepada kepekatan kuah yang kita nak. Kalau nak pekat tak perlu banyak. Kalau nak banyak kuah, lebihkan air rebusan.
5. Masukkan beberapa biji cili padi dan tomato, belimbing buluh dan telur rebus.
6. Teruskan memasak sehingga pekat dan timbul minyak. Anggaran dalam 20-30 minit dengan api perlahan.

Cara Buat Acar Nasi Dagang

Timun dan lobak merah dipotong memanjang
2 ulas bawang merah dan 1 biji bawang besar dihiris
Nenas dipotong-potong
1 sudu cuka
Gula dan garam secukup rasa

Semua bahan digaul mesra dan biarkan sementara menunggu nasi dan lauk masak.

Memasak nasi dagang akan menjadi lebih mudah jika cara memasak dan resepi yang dikongsikan diikut langkah demi langkah. Pasti nasi itu akan menjadi dan sedap dimakan.

Selamat mencuba!

Sumber: Media Maklumat