Ini adalah berita baik untuk si perokok yang nekad untuk berhenti rokok ataupun yang sedang mencuba untuk berhenti merokok. Selain daripada nekad dan usaha, rupanya ada juga ubat-ubatan yang mampu membantu untuk menghentikan tabiat merokok ini.

Berikut adalah perkongsian daripada Faiz Akmal Mfa yang merupakan seorang Pegawai Farmasi di Klinik Kesihatan yang boleh dijadikan sebagai rujukan.

Ini adalah salah satu ubat untuk berhenti merokok yang sudah ada di kebanyakkan klinik dan hospital kerajaan di seluruh Malaysia.

Nama ubat: Varenicline
Jenama ubat: CHAMPIX
Kekuatan sebiji ubat: 0.5mg dan 1mg
Keluaran kilang: Pfizer, Jerman
Harga satu kotak ubat: Lebih kurang RM90.00

Bagaimana pula cara dapatkan ubat ini?

1. Pergi ke mana-mana fasiliti kesihatan yang menawarkan perkhidmatan KLINIK BERHENTI MEROKOK. Daftarkan diri anda.

2. Anda akan diberi kaunseling terlebih dahulu oleh doktor atau penolong pegawai perubatan atau pegawai farmasi berkenaan cara-cara untuk berhenti merokok (tanpa melibatkan ubat).

3. Selepas anda menjalani beberapa siri kaunseling dan temuramah, dan jika anda menepati kriteria yang diperlukan, anda akan dimulakan dengan rawatan UBAT berhenti merokok ini.

4. Anda perlu berjumpa dengan pegawai farmasi untuk mendapatkan khidmat kaunseling ubat ini sebelum diberikan ubat tersebut.

5. Anda perlu tentukan dulu tarikh bila anda mahu berhenti merokok, dan ubat perlu dimakan 1-2 minggu sebelum tarikh tersebut.

Dalam satu kotak ubat ini, anda boleh lihat biji-biji ubat yang disusun dalam papan ubat mengikut MINGGU, HARI, dan MASA. (sila rujuk gambar)

Anda hanya perlu ikut sahaja aturan macam dalam papan ubat itu.

PADA HARI KE 1-3:
Anda perlu makan ubat 0.5mg SEKALI SEHARI (PAGI SAHAJA)

PADA HARI KE 4-7:
Anda perlu makan ubat 0.5mg DUA KALI SEHARI (PAGI & MALAM)

PADA HARI KE 8-14:
Anda perlu makan ubat 1mg DUA KALI SEHARI (PAGI & MALAM)

Perlu diingatkan bahawa ubat ini sangat bagus dimakan bersama dengan sedikit makanan/

AMARAN: Ubat ini TIDAK SESUAI untuk pesakit yang ada MASALAH BUAH PINGGANG, WANITA YANG MENYUSUKAN ANAK, WANITA MENGANDUNG, dan KANAK-KANAK.

Kesan sampingan ubat ini biasanya adalah loya-loya, sakit kepala, tak boleh tidur, dan mimpi yang aneh, yang mana ianya tidaklah serius dan itupun bergantung pada setiap orang.

Ini adalah salah satu sahaja dari rawatan ubat untuk berhenti merokok. Dan ubat ini juga TIDAK MENGANDUNGI NIKOTIN.

Kuncinya, hati kena kental dan mental kena kuat jika ingin berhenti merokok. Amat susah, tetapi tidak mustahil! Semoga berjaya buat semua yang bertekad untuk berhenti merokok.

Sumber: Mingguan Wanita