“Negara ibarat sebuah rumah tangga. Pasti akan ada pergaduhan, perselisihan faham, rasa kecil hati, merajuk dan sebagainya. Itu adalah lumrah bagi sesebuah negara apatah lagi Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan agama,” itulah luahan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, 40, sempena Hari Kemerdekaan ke-62 hari ini.

Menurut Siti Nurhaliza, tidak mudah untuk mana-mana negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum mendapat persefahaman bersama dalam pelbagai isu.

“Demi mencapai kata sepakat itu, pasti akan ada cabaran yang harus dilalui. Jadi, inilah cabaran yang dihadapi oleh tampuk kepimpinan sekarang. Saya percaya kepimpinan kita hari ini bijak mengatasi situasi negara supaya tidak ada yang berpecah belah. Kita harus tahu ia bukan sesuatu yang mudah,” jelas Siti Nurhaliza yang menyeru seluruh masyarakat Malaysia ke arah keamanan dan kesejahteraan negara.

Bersempena tema ulang tahun Hari Kebangsaan tahun ini Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, Siti Nurhaliza sebagai artis yang mempunyai pengaruh besar turut menyeru rakyat agar sentiasa menyayangi negara. Dalam masa sama, Siti Nurhaliza merasakan perkataan bersih itu sendiri membawa maksud yang besar.

“Bersih itu luas maknanya. Ia meliputi segalanya seperti bersih dari segi pemikiran dan persekitaran. Junjungan kita Rasulullah juga sukakan yang bersih dan suci kerana ia melambangkan keperibadian kita semua.

“Dalam konteks negara juga, perkataan bersih itu bagus untuk diguna pakai. Jadi sempena Hari Kemerdekaan ini, marilah sama-sama kita ‘membakar’ semangat sayangi Malaysiaku.

“Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain. Ada negara yang berlaku pergaduhan dan peperangan. Jadi kita seharusnya bersyukur, rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama, tetapi kita masih boleh hidup dalam keadaan aman dan tiada huru-hara. Kalau adapun, ia adalah sebuah perhimpunan secara aman. Tidak ada yang menyebabkan pertumpahan darah, itu paling penting,” katanya.

“Erti kemerdekaan, kalau kita belajar Sejarah di sekolah, ia bermaksud bebas daripada penjajah. Namun sekarang erti merdeka itu boleh dilihat pada diri kita sendiri.

“Kita sendiri yang perlu merdeka dalam banyak perkara. Antaranya jauhi perkara atau anasir-anasir luar yang boleh merosakkan pemikiran. Kita kena jadi orang yang sentiasa bersemangat, berfikiran positif, ada sikap mahu berjaya dan jangan selalu lemah atau negatif.

“Saya sendiri banyak kekurangan. Kadang-kadang nak mengatasi kelemahan banyak cabarannya walaupun perkara itu nampak remeh sahaja,” jelas beliau yang telah banyak mengharumkan nama negara melalui nyanyian di persada antarabangsa dan membuat rakyat Malaysia bangga.

Sumber: Utusan