Seperti yang diketahui ramai, sekali lagi kebakaran hutan di Indonesia telah menyebabkan Malaysia dilanda jerebu. Tambahan pula dengan letusan Gunung Kerinci yang baru dilaporkan, keadaan jerebu mungkin mengambil sedikit masa untuk reda.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Ogos 2019, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah melaporkan beberapa negeri di Malaysia bakal menerima tempias jerebu susulan kebakaran hutan di 5 wilayah di Indonesia.

Sebagai langkah berjaga-jaga, KKM menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan sebagaimana berikut:

1. Kurangkan Aktiviti Fizikal

Kurangkan aktiviti fizikal yang menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisma badan. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu dan cuaca panas.

2. Hadkan Aktiviti Luar Rumah

Sentiasa berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai dan pelindung diri seperti payung dan topi.

3. Tutup Tingkap

Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.

4. Elek Pembakaran Terbuka

Selain pembakaran sampah secara terbuka, elakkan juga aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

5. Guna Mod Kitaran Udara Dalaman Pada Air Con Kereta

Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan. Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.

6. Banyakkan Minum Air Kosong

Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari). Ini adalah bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan.

7. Kerap Mandi

Kerapkan mandi bagi menyejukan badan. Cuci muka dan basuh tangan dan dengan sabun selepas melakukan aktiviti luar.

Sumber: Sirap Limau