Sebelum berpindah ke rumah baru atau rumah yang sudah lama kosong, banyak persiapan yang perlu anda buat dan banyak perkara penting yang perlu anda diambilkira dan harus disenaraikan sebelum pindah rumah. Seeloknya, anda tidak digalakkan masuk begitu sahaja tanpa sebarang amalan atau doa yang telah diamalkan oleh orang-orang Islam.

Berikut adalah beberapa tips dan doa yang anda boleh cuba jika ingin berpindah ke rumah baru.

1. Laungan Azan

Melaungkan azan sewaktu pertama kali ingin masuk ke rumah baru adalah wajib kerana ia amat baik bagi bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak berpenghuni. Dicadangkan until memilihlah hari dan masa yang sesuai untuk berpindah masuk ke rumah itu dan elakkan pada waktu Maghrib.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis atau rumah) itu terlalu lama ditinggalkan kosong (tanpa penghuni) ia akan dimasuki oleh sejenis makhluk halus (jin yang dikenali sebagai Al-‘Ammar) yang suka tinggal di kawasan rumah yang tiada dihuni oleh manusia.

2. Bacaan Surah Al-Baqarah

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud; “Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur), sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah.”

Telah menjadi kebiasaan dikalangan masyarakat kita apabila masuk ke rumah baru kita hanya akan membaca Surah Yassin sahaja. Namun. sepatutnya kita juga harus membaca Surah Al-Baqarah untuk masuk rumah atau bangunan baru.

3. Perbanyakkan Solat dan Mengaji Al-Quran

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah SAW juga menggalakkan kita agar memperbanyakkan solat dan juga membaca -ayat-ayat suci Al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru yang akan kita duduki. Baginda juga bersabda yang bermaksud, “Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

4. Baca Surah Yassin, Al Ikhlas dan Al Fatihah

Amalkan membaca Surah Yassin pada setiap malam terutamanya pada tujuh malam yang pertama anda menduduki bangunan atau rumah berkenaan. Baca juga Surah Al-Fatihah sebanyak sekali, Surah Al-Ikhlas tiga kali, selawat ke atas Nabi sebanyak tujuh kali, Ayat Kursi sekali walau bagaimanapun pada ayat terakhir bacalah dengan berulang sebanyak tujuh kali.

5. Memagar Rumah Secara Islam

Perbuatan memagar rumah dengan menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut-sudut yang tertentu di bangunan atau dalam rumah yang diduduki itu dengan kepercayaan bahawa benda tersebut akan menjaga dan memeliharakan keselamatan penghuninya, itu adalah perbuatan yang sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam iaitu syirik.

Bagaimana pun terdapat beberapa cara yang dibolehkan dan turut digalakkan mengikut ajaran agama Islam. Caranya adalah dengan memagar rumah dengan merenjiskan air bacaan Yassin di sekeliling rumah bakal anda duduki itu.

Sumber: Media Maklumat