Crazy Rich Asians adalah filem drama komedi romantis Amerika Syarikat yang diarahkan oleh Jon M. Chu dari senario oleh Peter Chiarelli dan Adele Lim, berdasarkan novel tahun 2013 yang juga menggunakan judul yang sama, oleh Kevin Kwan.

Rakyat Malaysia mempunyai banyak sebab yang kukuh untuk menonton dan tumpang berbangga dengan filem yang kini sedang menjadi bualan ramai, Crazy Rich Asians.

Filem ini bukan sahaja menampilkan beberapa bakat besar dari Malaysia, Crazy Rich Asians juga mengutip nilai jualan tiket lebih AS$35 juta di seluruh dunia selepas tiga hari ditayangkan. Filem ini juga menggunakan beberapa tempat menarik di Malaysia sebagai lokasi penggambaran.

Ini adalah 3 lokasi menarik di Malaysia yang terdapat dalam filem Crazy Rich Asians:

1. Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur

Menurut pengarah filem itu, Jon M. Chu, adalah menjadi cabaran untuk mereka mencari kediaman yang besar dan mempunyai kawasan yang sangat luas. Oleh itu, mereka akhirnya memilih Carcosa Seri Negara sebagai lokasi mahligai milik keluarga Nick Young.

Teknik computer generated image atau CGI juga membantu menjadikan babak di mana Rachel Chu kali pertama berkunjung ke rumah Young untuk diperkenalkan kepada keluarga, lebih menarik dan menepati gambaran seperti di dalam novel.

2. Rumah Agam Cheong Fatt Sze, Pulau Pinang

Menurut pereka produksi, Nelson Coates, keseluruhan babak di London telah dilakukan di Pulau Pinang.

“Kami masukkan dekorasi tersendiri dalam babak di dewan mahjong untuk memastikan ia bersesuaian dan bertepatan seperti gambaran penulis,” kata Coates.

3. Langkawi

Terdapat dua babak dan latar lokasi yang berbeza tetapi penggambaran dijalankan di tempat yang sama, iaitu Pulau Langkawi.

“Kerana masalah logistik dan kekangan masa, kami perlu membuat Langkawi kelihatan seperti dua tempat yang berbeza untuk babak parti bujang Nick Young dan Araminta Lee,” cerita Coates.

Crazy Rich Asians, yang diadaptasi dari novel dengan judul yang sama, sudah mula ditayangkan di Malaysia pada 22 Ogos. Henry Golding, Tan Sri Michelle Yeoh dan Carmen Soo merupakan antara bakat dari Malaysia yang dipilih membintangi filem ini, selain Constance Wu, Gemma Chan dan Awkwafina.

Sumber: Awani