Hari ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi, 59 tahun, beserta Exco kerajaan Perak, Razman Zakaria, 60 tahun, didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

Majistret, Norhidayati Mohammad Nasroh, menjatuhkan hukuman tersebut apabila Dr Noor Azmi dan Razman mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibaca secara serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Selain itu, abang Dr Noor Azmi, Noor Azman, 57 tahun, turut didenda RM1,000 kerana ingkar PKP di mahkamah sama.

Menurut pertuduhan, semua tertuduh didapati berhimpun dalam kawasan tempatan jangkitan bagi maksud sosial di Dewan Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah Kampung Luat di Lenggong, antara pukul enam hingga pukul 7 malam pada 17 April lepas.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta boleh dihukum di bawah peraturan 11 (1) peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara dalam tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Difahamkan, sebelum singgah ke maahad tahfiz berkenaan, Dr Noor Azmi, Razman serta beberapa individu lain telah melawat Klinik Kesihatan Lenggong, untuk meninjau persiapan, permasalahan yang timbul, kekurangan dan keperluan kakitangan di Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak dalam mengawal penularan wabak Covid19.

freemalaysiatoday.com

Selepas itu, kesemua tertuduh singgah ke maahad tahfiz berkenaan untuk solat Asar dan memberi sumbangan barangan kering kepada wakil penduduk kampung sebelum ke dewan makan untuk menikmati jamuan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar dan Mohamad Amri Alfikri Mohamad Dasuki, sementara semua tertuduh diwakili peguam, Nor Zahari Ismail.

Menurut sidang media di luar mahkamah berkata, Dr Noor Azmi memohon maaf atas kesilapan dan akan mematuhi sistem perundangan serta kehakiman negara.

“Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan terus berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro