Sejak kebelakangan ini kita boleh lihat trend atau hobi terbaru rakyat Malaysia ialah menunggang basikal di jalan-jalan besar termasuk lebuh raya sehingga membahayakan pengguna jalan raya.

Terbaru individu yang menunggang basikal di lebuh raya boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 kerana didapati ingkar arahan sekatan serta larangan menggunakan kenderaan di atas jalan tertentu.

Menurut satu posting di akaun rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihaknya memaklumkan tindakan itu boleh diambil mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan atau kedua-duanya,” tulisnya.

Selain itu, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, menyatakan bahawa kesalahan itu ada dinyatakan dengan jelas dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengabaikan tanda kenderaan yang tidak dibenarkan di lebuh raya.

“Di semua plaza tol ada papan tanda yang memaklumkan larangan berkenaan. Dari segi penguatkuasaan, ada peruntukan undang-undang khusus mengenai perkara itu iaitu Seksyen 79(2) akta sama kerana mengabaikan isyarat lalu lintas,” ujarnya.

“Apa yang kami pentingkan adalah keselamatan semua pengguna jalan raya termasuk tahap kesihatan mereka juga yang boleh terjejas dengan bau asap kenderaan di tempat yang sibuk,” jelasnya.

Malah, dia turut menasihati mereka yang gemar berbasikal di negara ini supaya tidak menunggang basikal di lebuh raya serta jalan yang sibuk dan tidak sesuai untuk beriadah.

“Langkah yang bijak bagi individu yang menunggang basikal adalah pilih jalan atau laluan di kawasan sesuai bagi mengelakkan insiden tidak diingini,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro, FB PDRM