Angkatan Tentera Udara Indonesia(TNI-AU) mengumumkan bahawa pihaknya akan menyertai tradisi mengejut penduduk untuk bangun sahur sepanjang bulan puasa ini.

Menerusi akaun Twitter @_TNIAU, tentera udara negara itu memaklumkan latihan jet pejuang itu untuk mengejutkan penduduk bersahur akan dilakukan di beberapa bandar di Pulau Jawa seperti Surabaya di Jawa Timur, Surakarta, Klaten dan Sragen di Jawa Tengah serta Yogyakarta.

“INSYA ALLAH, kami akan menjalankan tradisi itu,” jelas twit tersebut.

Sementara itu, jurucakap TNI-AU, Kolonel Sus M Yuris, menjelaskan bahawa misi tersebut bukan saja mengekalkan tradisi mengejut penduduk bangun sahur, namun ia juga untuk memastikan pasukan juruterbang mereka tidak melakukan latihan ketika sedang berpuasa.

Menurut pakar perubatan, waktu menjelang subuh adalah masa yang sesuai untuk juruterbang jet pejuang berlatih.

“Mereka dinasihatkan supaya tidak berlatih sehingga 10 pagi kerana ketika itu paras gula dalam darah kebanyakan individu mula menurun dengan kadar yang cepat. Juruterbang disyorkan tidak mengendalikan jet pejuang ketika paras gula dalam darah mereka rendah,” jelasnya.

Ia adalah ‘misi gabungan’ untuk mengejut penduduk bangun sahur dan berlatih. Difahamkan, program tersebut yang dimulakan TNI-AU sejak beberapa tahun lalu menggunakan dua jet pejuang iaitu F-16 dan T50i.

Sumber: Sinar Harian