Terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memfailkan pertuduhan terhadap empat pemilik akaun media sosial kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W. Salah seorang daripada mereka sudah dijatuhi hukuman penjara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pertuduhan terhadap empat individu terbabit yang dibuat semalam kerana memuat naik komen berbentuk penghinaan adalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 505(c) KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

“Pemilik akaun Facebook AYEA YEA dituduh 10 pertuduhan mengikut Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM.

“Tertuduh mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak dan dikenakan hukuman 10 tahun 10 bulan penjara, yang berjalan secara berasingan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Gambar: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Turut difailkan adalah pertuduhan pemilik akaun Twitter @ ALVINCHOW333 yang dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 298A KK, Seksyen 505(c) KK dan Seksyen 233 AKMM.

“Tertuduh tidak mengaku salah bagi lapan pertuduhan yang dibaca. Tiada jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April 2019,” katanya.

Menurutnya, pemilik akaun Facebook ‘Danny A’antonio Jr’ juga dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta mengikut Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM, serta mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April.

Menurutnya lagi, pemilik akaun Facebook ‘YAZID KONG’ yang dituduh di mahkamah sama mengaku salah dan pendengaran fakta kes serta hukuman akan ditentukan pada 11 Mac ini.

Seksyen 298A KK adalah kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama.

Seksyen 505(c) KK pula berkaitan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan kesalahan terhadap golongan atau kaum lain, manakala Seksyen 233 AKMM membabitkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.

Orang ramai dinasihat tidak menyalahgunakan media sosial atau rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.

Sumber: Metro