Seorang imam berusia 37 tahun cedera ditikam oleh seorang lelaki yang dikatakan bengang apabila imam tersebut menganggu tidurnya kerana mengaji menggunakan pembesar suara di Masjid Kampung Apal, Jerteh, Terengganu, pagi semalam.

Akibat perbuatan lelaki yang juga seorang penganggur itu, mangsa menerima tujuh jahitan di bahagian kiri dada.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, menjelaskan bahawa kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa membaca al-Quran di ruang solat masjid sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali dari belakang.

Menurutnya, suspek kemudian menikam dada mangsa menggunakan objek tajam dan melarikan diri sebelum mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan.

Gambar sekadar hiasan

“Siasatan awal mendapati mangsa adalah imam di sebuah surau di Kertih, Chukai dan pulang ke daerah ini kerana menguruskan jenazah ayahnya yang meninggal dunia,” ujarnya

“Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Jerteh, suspek berusia 23 tahun ditahan tidak lama kemudian dan kita turut merampas pisau yang digunakan untuk menyerang mangsa,” jelasnya.

Berdasarkan hasil soal siasat, suspek mengaku menikam mangsa menggunakan sebilah pisau kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu tidurnya.

Gambar sekadar hiasan

Difahamkan, siasatan mendapati jarak rumah suspek dan tempat kejadian kira-kira 100 meter dan suspek juga positif methamphetamine turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes mencederakan orang dan penyalahgunaan dadah sebelum ini.

“Suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro