Jika anda salah seorang peminat aiskrim IKEA perisa vanila, diharap anda bertenang dan jangan bersedih. Ini kerana aiskrim perisa itu telah diganti dengan perisa terbaru, soya.

Menurut kenyataan di laman Facebook IKEA Malaysia, mereka telah mengumumkan telah menukar perisa aiskrim kegemaran ramai, vanila dengan perisa soya.

Perisa terbaru itu merupakan 100% berasaskan tumbuhan, bebas tenusu, dan tanpa gluten di mana mereka yang alah terhadap susu dan gluten boleh menikmati aiskrim IKEA terbaru itu.

Menurut kajian dijalankan oleh Ripple, pelepasan karbon susu tenusu empat kali lebih tinggi daripada susu bukan tenusu.

Sebelum ini, pihak IKEA juga telah mengumumkan mengenai perkara tersebut pada awal Jun lepas melalui akaun Instagram mereka.

Walau bagaimanapun, ramai yang tidak bersetuju aiskrim vanila diganti dengan aiskrim soya kerana mereka berpendapat adalah lebih bagus jika pihak IKEA menjual kedua-dua perisa tersebut kerana pasti ada juga sesetengah orang yang alah dengan soya.

Sumber: Says