Tinggal sehari saja lagi untuk umat Islam berpuasa dan bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebelum ini, harga ayam dikatakan naik di beberapa tempat dan beberapa peniaga juga telah dikenakan kompaun kerana menaikkan harga. Baru-baru ini, harga ikan selayang pula dikatakan naik di Pasar Besar Gua Musang, Kelantan.

“Hanya ikan selayang yang mampu dibeli sebelum ini tetapi dalam tempoh seminggu lalu harganya di Pasar Besar Gua Musang tu melambung tinggi,” ujar Esah Husin, 68 tahun.

Menurutnya, ikan itu yang dijual daripada RM7 sekilogram sebelum ini naik kepada RM10 hingga RM12 sekilogram di mana ia amat membebankan baginya.

Dia mengakui tidak mampu membeli ikan lain termasuk kembung, tongkol dan selar kerana harganya lebih mahal.

“Ikan selayang adalah untuk orang seperti saya yang berpendapatan rendah dan bergantung kepada bantuan setiap bulan,” jelasnya.

“Saya terkejut dengan kenaikan harga ikan kerana yang dijual di pasar Gua Musang tidak segar seperti yang ada di pasar sekitar Kota Bharu,” katanya.

Walau bagaimanapun, seorang peniaga ikan, Daud Yusoff, 52 tahun, menjelaskan peniaga bukan sengaja menaikkan harga ikan.

Difahamkan, ia kerana semua jenis ikan termasuk ikan selayang diambil daripada pembekal sekitar Pasir Puteh dan Bachok dengan harga yang mahal.

“Kami peniaga juga memikirkan bebanan perbelanjaan bagi mereka yang berpendapatan rendah tetapi apa boleh buat terpaksa ikut pasaran,” tambahnya lagi.

Menurutnya, semua jenis ikan yang dijual di pasar bandar itu sama saja harganya sambil mengakui harga ikan selayang pernah dijual RM7 sekilogram sebelum ini.

Sumber: Harian Metro