Jika sebelum ini kita dengar harga udang galah dijual murah iaitu RM1 seekor, kini ikan temenung atau dikenali sebagai ikan kembung pula dijual murah iaitu 5 sen seekor.

Sebuah kedai ikan berhadapan Masjid Al-Majidi (Masjid Kuning) Sungai Layar di Sungai Petani, Kedah, diserbu orang ramai kerana menjual ikan kembung pada harga 5 sen dan 30 sen seekor.

Orang ramai mula memenuhi kedai ikan tersebut seawal pukul 2 petang walaupun kedai akan dibuka pada 3 petang.

Pemilik kedai ikan Pasar Kampung, Khairol Azelan Johari, 37 tahun, memberitahu sebanyak 10,000 ekor ikan kembung sudah terjual dengan ikan berharga 5 sen sebanyak 6,000 ekor habis dijual dalam masa setengah jam selepas ia mula dijual pada pukul 3 petang, Sabtu lepas.

“Baki ikan tersebut dijual pada harga RM0.30 sen seekor dan habis pada 5 petang. Dari segi harga, ia bergantung kepada bekalan. Kalau dapat murah kami tawarkan harga murah. Setakat ini, ikan temenung, kami pernah jual pada harga 5 sen, 10 sen dan 30 sen seekor,” ujarnya.

Difahamkan, dia menerima bekalan ikan tersebut dan hasil laut lain dari Kuala Kedah, Kuala Perlis, Kuala Muda dan Tanjung Dawai.

sarawakvoice.com

“Kedai kami beroperasi setiap hari bermula 3 petang, tetapi waktu promosi harga murah hanya akan dimaklumkan menerusi laman sosial Facebook atas nama ‘Khairol Azelan’,” katanya sambil menambah dia ada menjual hidupan laut lain seperti udang galah berharga 70 sen hingga RM1 seekor dan ikan cencaru 20 sen seekor.

Menurutnya, dia akan meneruskan promosi seperti ini dari masa ke semasa untuk membantu meringankan perbelanjaan harian pelanggannya.

“Niat saya untuk berkongsi rezeki dan bersedekah. Lagi pun ini juga salah satu cara mempromosikan Pasar Kampung yang beroperasi sejak tiga tahun lalu, kepada lebih ramai pelanggan,” jelasnya.

Sumber: Harian Metro