Seorang bekas bintang Korea Selatan yang juga popular sebagai Youtuber, Kim Jae Han atau lebih dikenali sebagai Jay Kim, mengejutkan orang ramai terutama ahli keluarganya apabila dia mengumumkan bahawa dia telah memeluk agama Islam.

Difahamkan, dia telah mengucap dua kalimah syahadah di depan imam di jabatan agama Islam Korea pada 25 September lalu.

Jay Kim atau kini nama Islamnya Daud Kim, memuatnaik perbualan bersama ibunya di laman Youtube dan mendapat lebih sejuta tontonan di laman sosial tersebut.

“Awak dah gila ke? Kenapa tak beritahu perkara penting ini kepada ibu terlebih dahulu? Kenapa awak buat keputusan sendiri? Itu sesuatu yang tidak normal. Bolehkah awak batalkan semula (pertukaran agama)? Awak cakap awak nak pergi Itaewon. Tapi kenapa awak buat macam ni kepada ibu? Tolong fikir masak-masak, Jay! Awak ni memang dah gila! Apa patut ibu buat sekarang? Ibu sangat tak percaya. Ibu tak pernah tengok orang Korea Muslim sepanjang hidup ibu. Tiba-tiba anak ibu seorang Islam,” ujar ibunya sambil menyatakan dia tidak pernah terserempak dengan rakyat negara itu yang beragama Islam sebelum ini.

Oleh itu, Daud Kim menenangkan ibunya dengan memberi sebab mengapa dia memilih untuk memeluk Islam.

“Ibu, ini adalah pilihan saya dan tanggungjawab saya tak kisahlah walau macam mana jua masa dan keadaan. Saya cuma nak beritahu ibu yang saya tidaklah terburu-buru untuk masuk Islam, tetapi ini adalah kepercayaan saya. Saya pernah belajar berpuasa ketika bulan Ramadan, solat dan banyak bergaul dengan orang Muslim. Kemudian, saya pernah berjumpa dengan seorang imam dan dia banyak beri nasihat kepada saya. Jadi, saya fikir masak-masak untuk memeluk Islam dan rasa saya tak terburu-buru untuk buat keputusan sebegini. Ini kerana saya sudah bersedia,” jelasnya.

Selepas itu, ibunya dilihat bersetuju dengan pilihan Daud Kim mengenai penukaran agama yang telah dibuatnya.

“Ibu sangat sedih dan kecewa dengan awak sebab itu ibu marah-marah dan tinggikan suara kepada awak. Ibu minta maaf. Ibu tahu awak dah lama meminati agama Islam dan awak pernah cakap awak nak masuk Islam. Ibu turut merasakan bahawa awak akan berbuat demikian (masuk Islam) tapi keputusan awak buat ini terlalu awal,” kata ibunya.

Semoga Daud Kim kekal istiqomah dan sentiasa berusaha untuk mendalami Islam selepas ini. Hwaiting!

Sumber: Media Hiburan & Youtube Jay Kim