Semalam, dunia hiburan dikejutkan dengan berita seorang penyanyi, pengacara dan pelakon terkenal, Alif Satar, disahkan positif Covid19 selepas dia memuatnaik satu posting di akaun rasmi Instagram miliknya.

Difahamkan, dia juga telah menyerahkan senarai nama kontak rapat kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia memandangkan dia pernah menjalani penggambaran drama serta persembahan di sebuah acara pada Jumaat minggu lalu.

Pengurusnya, Adlina Abu Bakar, mengesahkan dirinya negatif Covid19 selepas membuat ujian saringan tersebut pada Sabtu lepas.

“Alhamdulilah, saya bersyukur sangat apabila disahkan negatif Covid-19 oleh pihak hospital,” ujarnya.

“Pun begitu, saya masih perlu menjalani kuarantin selama 14 hari dan akan membuat saringan kedua pada hari ke 12,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, berita buruk buat keluarga Alif apabila ibu bapa serta adik bongsunya baru sahaja disahkan positif Covid19, hari ini.

“Namun, saya bersimpati apabila mendapat tahu ibu bapa serta adik bongsu Alif yang telah disahkan positif sebentar tadi. Mereka kini dirawat di Hospital Sungai Buloh,” sambungnya lagi.

Difahamkan, ibu Alif, Hafiza, serta bapanya, Satar Ramli, dan juga adiknya, Jim, membuat saringan ujian tersebut pada Sabtu.

Menurut Adlina, isteri Alif, Sha Dila Hadid, dan anak-anaknya, Alisha Anugerah, 5 tahun, Ariana Mecca, 3 tahun, dan Muhammad ‘Ali, 1 tahun, dikhabarkan bakal menjalani ujian saringan Covid19 pada hari ini.

Selain itu, Alif kini dirawat dan menjalani kuarantin di sebuah hospital di Melaka selepas disahkan positif Covid19.

“Alif kini menjalani rawatan seperti biasa di hospital dan tidak menunjukkan apa-apa symptom atau sakit,” tambah Adlina.

“Cuma Alif meminta semua mendoakan agar isteri dan anak-anaknya dilindungi dari jangkitan virus tersebut dan mereka berada dalam keaadan sihat,” ujarnya.

Sumber: Gempak, IG Alif Satar