Terbaru, kerajaan Malaysia memutuskan untuk menangguhkan ibadah haji semua rakyat Malaysia bagi Musim Haji 1441 pada tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, keputusan itu sudah mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, keputusan itu diambil berdasarkan taklimat disampaikan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) dan Lembaga Tabung Haji(TH) selain perbincangan ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada Selasa lalu.

“Semalam, saya sudah menjemput Duta Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia untuk bertemu dan menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadah haji bagi Malaysia untuk disampaikan kepada Dr Mohammed Saleh bin Taher Banten selaku Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi,” ujarnya.

“Selain Malaysia, antara negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah Haji mereka adalah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei,” jelasnya.

Difahamkan, TH akan mengeluarkan kenyataan rasmi dan soalan lazim(FAQ) berkaitan urusan penangguhan ibadat haji bagi Musim Haji 1441H tidak lama lagi.

“Saya juga menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk terus berdoa supaya Allah SWT menghilangkan wabak ini sepenuhnya dan memelihara dua Kota Suci Makkah dan Madinah dari sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya.

“Saya mengharapkan semua bakal haji untuk bersabar dan reda dengan keputusan ini,” tambahnya lagi.

Sumber: Harian Metro