Fasa peralihan monsun yang membawa hujan dan ribut petir dijangka akan berlaku membabitkan seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak sepanjang minggu ini.

bharian.com.my

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia(MetMalaysia), Jailan Simon, menjelaskan bahawa fasa peralihan monsun itu tidak membawa banjir besar namun berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan yang tidak mempunyai sistem saliran yang baik.

Menurutnya, hujan lebat hanya berlaku pada waktu petang di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat, pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat serta tengah Sarawak.

“Hujan dan ribut petir memang lumrah atau biasa berlaku ketika musim peralihan monsun. Biasanya negeri di pantai barat Semenanjung dan pedalaman pantai timur serta barat Sabah dan Sarawak memang akan mengalami hujan atau ribut petir pada sebelah petang atau awal malam ketika musim peralihan monsun ini,” jelasnya.

Tambahnya, Monsun Timur Laut dijangka bermula pada hujung minggu ini atau awal minggu depan di mana sepanjang waktu itu, terdapat kemungkinan beberapa kawasan akan mengalami banjir.

Selain itu, hujan lebat turut dijangka berlaku di antara pertengahan November hingga hujung Disember di Kelantan dan Terengganu manakala Pahang dan Johor akan mengalami keadaan yang sama pada Disember hingga awal Januari depan.

“Pada awal Januari hingga Februari nanti hujan (dijangka) beralih ke Sarawak dan Sabah,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro