Hujan lebat beserta angin kencang melanda di beberapa kawasan di Pulau Langkawi pada malam semalam. Kejadian itu berlangsung kira-kira dalam 15 minit, dan menurut video yang telah tular, para peniaga serta pelancong yang berada di kawasan terjejas bertempiaran melarikan diri dari kawasan tersebut.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi, Kapt. (PA) Ahmad Shahfikri Darus, kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku dengan pantas. Antara kawasan terjejas adalah Kedawang, Bohor, Padang MatSirat, Ayer Hangat, Kuah dan Ulu Melaka.

Hujan lebat beserta angin ribut yang kencang menyebabkan beberapa buah rumah dan bangunan rosak dan kenderaan telah ditimpa pokok. Selain itu jalan-jalan utama juga terdapat pokok yang tumbang dan menghalang lalu-lintas.

Ketika ini beberapa agensi sedang melakukan bancian dan kerja bantuan antaranya Pejabat Daerah Langkawi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini bagaimanapun kerja-kerja penyeliaan dan pembersihan sedang dilakukan ketika ini.

Sumber: Awani