Gambar : Viralivia

Penduduk Kuala Lipis digempar apabila hujan air batu melanda kawasan itu selama kira-kira 20 minit. Kejadian itu berlaku pada pukul 6.45 petang dan awalnya membuat orang ramai panik dan risau jika kenderaan mereka rosak ditimpa hujan batu itu.

Ahmad Nazree Sahbudin, 35, penduduk di situ berkata, kejadian tersebut berlaku dengan hujan secara tiba-tiba sebelum dikejutkan dengan iringan bunyi kuat apabila ketulan ais menimpa lebih 10 kereta yang diletakkan berhampiran.

“Memandangkan ini kali pertama melihat hujan air batu, kami teruja untuk mengutip ketulan ais yang bertaburan di atas jalan dan membeleknya dari dekat. Kami nampak hujan air batu jatuh melantun-lantun di atas jalan dan sempat melihat fenomena ini selama kira-kira 15 minit,” katanya ketika dihubungi Bernama.

kejadian Hujan Batu di Kuala Lipis petang tadi

Posted by Aman Shah II on Friday, 10 August 2018

Seorang lagi penduduk bernama Mohd Hishamuddin Aduat, 24, berkata, hujan air batu itu dianggap luar biasa kerana berlaku secara menyeluruh di sekitar bandar berkenaan.

“Memang teruja dapat tengok hujan air batu pertama kali sepanjang umur saya. Ais yang jatuh berbentuk ketulan tetapi ia lembut daripada ketulan air batu biasa, jadi tiada kenderaan rosak disebabkan hujan ini. Tidak sangka pula selepas dua minggu hujan tidak turun di Kuala Lipis tiba-tiba jadi hujan air batu pula hari ini,” katanya.

Hujan batu lazimnya berlaku ketika ribut petir kuat dalam ketinggian awan yang melepasi takat beku sehingga mencapai 12,192 meter manakala saiz hujan batu yang terhasil lazimnya adalah antara lima milimeter (mm) atau sebesar biji kacang sehingga 1.5cm iaitu sebesar sebiji guli.

Sumber: Awani