Semalam, Jumaat, 8 Mac 2019 merupakan Hari Wanita Antarabangsa! Sempena dengan itu, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlistelah mengambil inisiatif dengan membuka kaunter perkhidmatan khusus bagi wanita di kedua-dua agensi itu.

Pengarah HTF Dr Othman Warijo berkata, kaunter perkhidmatan wanita itu memulakan operasinya hari ini sehingga 18 Mac depan.

“Antara unit di HTF yang menyediakan kaunter perkhidmatan khusus untuk wanita adalah Klinik Kardiologi dan Gastroenterologi, Jabatan Radiologi, Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial.

“Selain itu, jabatan pakar turut terbabit menyediakan kaunter wanita seperti Jabatan Pembedahan Am, Klinik Pakar Pergigian, Klinik Oftalmologi, Klinik Perubatan dan Kaunter Pendaftaran Am.

“Jadi, wanita yang perlu berurusan dengan unit di HTF seperti disebutkan boleh terus ke kaunter khas berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Pengarah JPJ Perlis Shahrul Azhar Md Dali pula, pihaknya turut menyediakan kaunter wanita bagi memudahkan urusan golongan terbabit selama 10 hari.

“Ia bagi menghargai peranan dan pengorbanan wanita serta mengiktiraf pencapaian mereka dalam pelbagai bidang.

“Melalui kaunter khas terbabit, pelanggan wanita boleh berurusan bagi semua urusan yang berkenaan dan melakukan transaksi,” katanya.

Sumber: Metro