Hari ini, seorang penganggur didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akibat memuat naik posting jelik menghina Nabi Muhammad SAW.

Gambar sekadar hiasan

Hakim, MM Edwin Paramjothy, menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zahrein Zakariah, 37 tahun, selepas dia mengaku bersalah atas perbuatan yang dilakukannya melalui akaun laman Facebook miliknya.

Berdasarkan pertuduhan berkenaan, Zahrein secara sedar didakwa telah memulakan penghantaran menggunakan laman Facebook dan membuat komunikasi jelik yang mengandungi antaranya perkataan yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Difahamkan, hantaran yang dibuat dengan niat untuk menyakiti hati orang lain itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, pada 9.30 malam, 8 Julai lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Gambar sekadar hiasan

Terdahulu, peguam tertuduh, LA Gomes, memohon mahkamah mengenakan hukuman rendah berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya sudah insaf, selain berjanji tidak akan memuat naik hantaran bersifat jelik di masa akan datang.

“Anak guam saya memuat naik hantaran itu kerana ingin memulakan perbincangan di media sosial dan sekarang telah dipadam,” ujarnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abdul Hadi, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan penduduk di Malaysia agar lebih sensitif dan berhati-hati ketika ingin menyuarakan pendapat di media sosial.

“Hantaran yang dibuat telah dibaca oleh ribuan orang dan telah mendatangkan kemarahan kepada umat Islam di negara ini,” jelasnya lagi.

Sumber: Harian Metro & Bernama