Seorang mualaf, Borhan Benjamin Abdullah atau nama asalnya, Benjamain a/l Anthony, 62 tahun, berkongsi cerita mengenai pengalaman hidupnya sebelum, semasa dan selepas mengucap syahadah dijadikan pengajaran kepada orang ramai.

Menurutnya, dia dihantar ke Rumah Kanak- Kanak Tengku Budriah, Cheras semasa berusia dua tahun namun berpindah ke rumah Budak Laki-Laki Tun Abd Aziz Durian Daun, Melaka ketika berusia 12 tahun selepas ibu bapanya bercerai.

Kemudian, Borhan memeluk Islam semasa berusia 19 tahun namun ditentang hebat ibunya yang berpegang kuat kepada ajaran Kristian.

“Alhamdulillah, saya gembira memeluk Islam, walaupun terkilan ibu tidak sempat memeluk Islam sebelum meninggal dunia,” ujarnya.

Difahamkan, dia sempat bertemu ibunya di Rumah Pemulihan Orang Tua Mersing, Johor, untuk memberitahu pengislamannya, namun dia menerima berita ibunya meninggal dunia beberapa jam selepas mereka berjumpa.

“Saya pulang semula ke Mersing untuk menyaksikan pengebumiannya. Apakah daya hajat untuk melihat dia memeluk Islam tidak kesampaian,” jelasnya.

“Sudah pasti saya amat bersedih dan berduka namun nasihat dan panduan kukuh diberikan keluarga angkat iaitu Tan Sri Rahim Thamby Chik dan isteri Puan Seri Zabedah Abdullah membolehkan kekuatan sentiasa berada di sisi saya sehingga kini,” katanya yang mempunyai keluarga angkat bernama Datuk Dr Carleel Osman Marican.

Dia bertuah urusan perkahwinan dengan isteri tercinta, Senimah Ismail, 57, diuruskan Zabedah dengan kini dikurniakan seorang anak lelaki berusia 20 tahun.

Selain dirinya, dua daripada empat adik beradiknya turut memeluk Islam sepertinya. Kini Borhan kurang sihat akibat komplikasi prostat serta jantung manakala dulu dia pernah bekerja dengan banyak syarikat termasuk agensi swasta dengan pelbagai jawatan.

Pernah diugut dibuang kerja untuk dia meninggalkan Islam, namun dia tidak pernah bimbang dengan isu berkenaan selain diterima bekerja sebagai pembantu Hal Agama Islam lebih 35 tahun bersama Jabatan Agama Islam Melaka(JAIM) sebelum bersara dua tahun lepas.

“Sepanjang berkhidmat, saya puas dapat membantu lebih 50 bukan Islam memeluk Islam walaupun pernah diancam dicederakan dan dimaki hamun pelbagai pihak,” ujarnya.

“Rentetan perjalanan hidup termasuk tidak pernah bertemu bapa kandung, berpisah adik beradik dan diancam serta dicerca adalah hikmah tersembunyi untuk saya memeluk Islam,” tambahnya.

“Walaupun kini agak uzur, saya bersyukur dengan nikmat Islam seperti mengerjakan haji pada 2000 dan menunaikan umrah pada 1984,1986 dan 1994,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro