Mencium kanak-kanak, anak atau cucu sendiri adalah sunnah Rasulullah SAW. Seorang pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), memberi pandangan mengenai isu hangat semasa iaitu perbuatan mencium mulut anak oleh ibu bapa.

ukm.my

Profesor Madya Datuk Dr Izhar Ariff, Pensyarah Kanan Fiqh Kepenggunaan Semasa, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, menjelaskan bahawa Rasulullah SAW sendiri menunjukkan rasa kasih sayang baginda dengan mencium anak dan cucunya.

HARUS bagi ibu bapa mencium mulut anak belum baligh, selagi tidak menimbulkan fitnah,” katanya.

“Ini kerana Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah mencium mulut Hassan bin Ali hingga menyebabkan bibir disentuh Rasulullah itu tidak akan disentuh oleh api neraka(Hadis Riwayat Ahmad),” ujarnya.

“Namun begitu, IBN Hajar berpendapat mencium mulut anak atau cucu itu perlu dilihat dari sudut pandang adat setempat. Jika ia membawa fitnah, adalah lebih baik ditinggalkan kerana keburukan lebih banyak berbanding kebaikan,” jelasnya

ukm.my

Selain itu, Dr Izhar turut berkongsi hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan dari Aisyah RA, mengenai kisah sekumpulan Arab Badwi yang mendatangi Rasulullah SAW.

“Datang sekumpulan Arab Badwi kepada Rasulullah SAW lalu bertanya, apakah kalian mencium anak lelaki? Kami tidak mencium mereka. Lalu Rasulullah SAW bersabda, Aku tidak boleh berbuat apa-apa kalau Allah mencabut semua rahmat dan sayang dari hatimu (HR Bukhari dan Muslim),” katanya.

Kemudian, dia turut berkongsi sebuah lagi riwayat yang dikisahkan dari Abu Hurairah RA, yang bermaksud Rasulullah SAW mencium Hassan bin Ali dan di sisi Rasulullah SAW ada Al-Aqro’ bin Haabis At-Tamimiy yang sedang duduk.

“Lalu Al-Aqro’ berkata, Aku punya 10 anak, namun tidak seorang pun dari mereka yang pernah aku cium. Lalu Rasulullah SAW melihat kepada Al-Aqro’ dan berkata, Barang siapa tidak merahmati (menyayangi) maka ia tidak akan dirahmati (HR Bukhari dan Muslim),” sambungnya.

Sumber: Harian Metro