Nama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary tidak asing lagi di persada dunia bisnes di dalam negara mahupun di luar negara. Beliau amat berpengaruh dalam bidang perniagaan seperti pembangunan hartanah, pertahanan, perladangan, dan banyak lagi.

Digelar sebagai ‘Wira Dermawan’, beliau percaya bahawa perniagaan dan kebajikan merupakan dua perkara yang saling berkait antara satu sama lain.

Jom ikuti kisah beliau yang memberi sungguh memberi inspirasi!

forbes.com

Anak jati kedah ini telah menghadapi kesukaran untuk menduduki SPM kerana kesempitan hidup. Ini kerana beliau tidak mempunyai wang untuk membayar yuran peperiksaan. Namun begitu, beliau telah menduduki peperiksaan SPM pada usia 19 tahun.

Bagi menampung perbelanjaan keluarga, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah bekerja sebagai pembantu ibunya menanam sayur-sayuran. Beliau juga bekerja sebagai penjual roti canai dan membantu bapanya menternak lembu dan kerbau. Selepas insiden penyakit wabak kuku dan mulut yang menyebabkan lembu dan kerbau milik bapanya mati begitu sahaja, beliau nekad untuk memulakan perniagaan baru sebagai seorang pengusaha daging lembu dan kerbau pada tahun 1970.

Pada tahun 1972, MARA telah meluluskan pinjaman sebanyak RM 110,000 kepada beliau. Duit tersebut digunakan untuk membeli dua buah lori bagi memulakan perniagaan beras. Beliau berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd.

Selepas itu, beliau kemudiannya menceburi bidang pembuatan. Beliau berjaya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan.

Pada tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary menumpukan usaha beliau kepada bidang yang menjadikannya tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia. Beliau yang meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor menjadi terkenal di mata dunia.

Beliau juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun.

Walaupun beliau merupakan hartawan yang disegani, sifat rendah diri yang beliau miliki membuatnya sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah. Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang diasaskan beliau membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan dan hanya membiayai pelajar miskin. Yayasan Al-Bukhary mendermakan sejumlah RM775 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies.

‘Tuhan memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berkerja kuat. Apa yang ada pada saya hari ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh’, ujar usahawan Bumiputera yang berjaya ini.

Sumber: Usahawan.Com