Bapa kepada Ainul Mardhiah iaitu Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24 tahun, berkongsi perkembangan terbaru mengenai anaknya itu di akaun laman Facebook miliknya sebentar tadi.

Menurutnya, berita gembira untuk hari ini adalah adik Ainul sudah betul-betul membuka mata. Difahamkan, adik Ainul akan kembali semula ke wad biasa tidak lama lagi selepas berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya awal minggu ini.

“Hari ini ainul betul-betul buka mata. InshaAllah, hari ini ainul kembali semula ke wad biasanya. Nurse-nurse yang menjaganya pun dah tak sabar nak tunggu ainul balik wad,” tulisnya.

Selain itu, Ahmad Safiuddin turut berkongsi telatah comel anaknya iaitu tangan Ainul di luar balutan kain yang membaluti tubuh kecilnya itu.

“Dua hari lepas, setelah ainul sedar dari pembedahan, perkara pertama yg dia buat adalah cuba nak keluarkan tangan dia dari balutan tu. Bukan main lagi dia meronta-ronta nak keluarkan tangan,” jelasnya.

“Hari ni, nurse biar kan je dia keluarkan tangan. Sebab bila dia keluar tangan macam ni, dia senyap. Kalau di balut, memang tak tidur lah dia jawabnya,” ujarnya.

Sebelum ini, Ainul Mardhiah yang menghidap ‘Germ Cell Tumor’ selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya di sebuah hospital di London, United Kingdom, dengan bantuan doktor berasal dari Malaysia yang juga bertugas di hospital berkenaan, Doktor Amalina Che Bakri.

Sumber: Fb Ahmad Safiuddin