Mulai 7 November depan sehingga 9 Januari 2021, Universiti Teknologi MARA(UiTM) akan mengadakan penganugerahan diploma serta ijazah secara janji temu.

Gambar sekadar hiasan

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, menyatakan penganugerahan itu merupakan langkah alternatif untuk menjaga keselamatan, kesihatan, kebajikan dan keselesaan(4K) para graduan, ibu bapa dan seluruh warga yang terlibat.

“Susulan pandemik Covid19 yang masih berleluasa dan peningkatan kes tidak menentu, saya dan pengurusan tertinggi UiTM amat prihatin dan melakukan yang terbaik bagi memenuhi hasrat graduan untuk mempunyai kenangan bergraduasi dalam suasana normal baharu,” ujarnya.

“Memandangkan jumlah graduan UiTM bagi satu sesi konvokesyen kira-kira 25,000 orang, Istiadat Konvokesyen UiTM yang lazimnya dilaksanakan sebanyak dua kali setahun tidak dapat dilakukan pada kali ini,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

“Justeru, janji temu diperkenalkan ini sudah mengambil kira pelbagai aspek berkaitan 4K dengan merujuk Prosedur Operasi Standard(SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM), Majlis Keselamatan Negara(MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi(KPT),” katanya.

Walaupun bagaimanapun, para graduan masih berpeluang untuk memakai jubah konvokesyen, merakam gambar kenangan dan menerima skrol serta transkrip seperti istiadat konvokesyen secara konvensional.

Difahamkan, sesi penganugerahan akan dijalankan di UiTM Shah Alam serta seluruh kampus cawangan berdasarkan pemilihan kampus terdekat dengan graduan.

Gambar sekadar hiasan

“Majlis penganugerahan akan dilangsungkan setiap hari termasuk hari minggu serta cuti umum bermula lapan pagi hingga lima petang dan membabitkan 22,834 graduan,” tambahnya.

“Janji temu perlu dibuat secara dalam talian menerusi laman web UiTM dan graduan boleh memilih lokasi majlis berdekatan,” sambungnya lagi.

Sebelum ini, Istiadat Konvokesyen UiTM ke-92 yang dijadualkan bermula pada 24 Mac lalu ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid19 dan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) pada 18 Mac lalu.

Sumber: Harian Metro