Berikutan peningkatan kos bahan api, dua syarikat penerbangan terbesar negara ini iaitu Malaysia Airlines dan AirAsia dijangka akan menaikkan harga tiket penerbangan, menurut seorang penganalisis.

Ketua Pegawai Eksekutif Crucial Perspective, Corrine Png, menjangkakan kedua-dua syarikat penerbangan tersebut bakal menaikkan harga tiket dalam tempoh terdekat ini.

Gambar sekadar hiasan

“Sudah pasti syarikat penerbangan perlu menaikkan tambang untuk memindahkan kos bahan api lebih tinggi kepada pelanggan memandangkan harga bahan api pesawat meningkat sebanyak 33 peratus tahun ini,” katanya.

AirAsia dan Malaysia Airlines dijangka menaikkan tambang sekurang-kurangnya 10 peratus berikutan tahap lindung nilai bahan api yang terhad tahun ini.

“Syarikat penerbangan akan kehilangan sebahagian daripada trafik pelancongan yang sensitif ke atas harga, namun kami tidak menjangkakan trafik berkaitan perniagaan akan terjejas,” tambahnya.

“Kami telah membina daya tahan yang tinggi di dalam perniagaan dengan menjadi sangat berdisiplin dari segi kos bukan bahan api dan yakin mempunyai kemampuan mencukupi untuk menangani sebarang perubahan harga minyak,” jelas jurucakap AirAsia.

Walau bagaimanapun, Malaysia Airlines tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan segera mengenai perkara ini.

Sumber: Berita Harian