Harga siling untuk petrol RON95 berkemungkinan dihapuskan apabila subsidi kerajaan yang dijangka terhad kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berkuatkuasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan bahawa kerajaan akan memutuskan sama ada harga siling itu dikekalkan atau tidak.

Pada bulan Februari lepas, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 dihadkan pada kadar RM2.08 untuk semua pengguna tanpa mengira kenaikan harga minyak global.

“Kami mempunyai dua pilihan. Kabinet belum memutuskan perkara ini lagi. Kami juga akan menentukan sama ada subsidi yang disasarkan akan berdasarkan pada harga terkurung semasa, atau pada sistem harga apungan,” katanya.

Difahamkan, kerajaan sedang mencari kaedah untuk memperkenalkan subsidi petrol yang disasarkan bagi memberi manfaat kepada penerima BSH dan perbankan dalam bentuk wang secara terus ke dalam akaun mereka yang layak setiap bulan.

Tambahnya, kementerian merancang menggunakan BSH bagi memuktamadkan bilangan mereka yang layak mendapat bantuan itu dan sedang menunggu maklumat terkini daripada sekretariat BSH sebelum ia boleh diteruskan.

Gambar sekadari hiasan

Buat masa ini, terdapat sedikit isu dalam kaedah “perbankan” kerana kira-kira 10 peratus individu dalam pangkalan data tidak mempunyai akaun bank.

Pihak kementerian telah bekerjasama dengan beberapa bank untuk membantu individu-individu terbabit yang kebanyakannya berada di kawasan luar bandar membuka akaun bank bagi tujuan tersebut.

“Sekiranya Kabinet bersetuju bahawa kaedah ini adalah yang terbaik, kita dapat segera menyalurkan dana kepada penerima pada akhir setiap bulan. Kami berminat untuk menggunakan kaedah ini, antara kaedah lain yang telah dicadangkan,” jelasnya.

Jika kaedah itu terbukti berjaya, ia akan diperluaskan kepada subsidi masa depan yang lain seperti minyak masak dan tepung.

“Penjimatan yang kami dapat dari bentuk pengeluaran yang lebih cekap ini boleh digunakan untuk membolehkan lebih banyak rakyat Malaysia menikmati subsidi petrol – terutamanya kumpulan M40 (40 peratus pertengahan),” katanya.

Ditanya bilakah subsidi akan berkuat kuasa, Saifuddin menyatakan kementerian sedang menunggu pangkalan data BSH yang dikemas kini, yang sepatutnya siap tidak lama lagi.

Sumber: Astro Awani