Sebuah kisah mengenai kesulitan dihadapi barisan pejuang hadapan (frontliner) dikongsi oleh seorang jururawat, Nurul Izzati Liyana Mohd Azhar, 29 tahun, yang merasai pengalaman disisih masyarakat hanya kerana pakaian seragam jururawat yang dipakainya didakwa membawa kuman.

“Hanya disebabkan kami memakai baju misi (pakaian seragam jururawat), sesetengah pihak memandang kami seperti membawa kuman dan virus sehingga ada yang tidak membenarkan kami masuk membeli barangan di kedai runcit,” ujarnya.

Difahamkan, Nurul Izzati memuat naik perkongsian itu di status WhatsApp lalu dikongsi adiknya, Mohd Suhaizam Mohd Azhar, 24 tahun, di Twitter dan mendapat pelbagai reaksi warga laman sosial.

Selain itu, antara kisah lain yang dikongsikan termasuk ada pihak tidak mahu menaiki lif sama serta memarahi petugas kesihatan ketika mengisi minyak.

Menurutnya, semua petugas kesihatan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan hospital sebelum dan selepas menjalankan tugas.

“Jangan risau kami semua tidak menggunakan uniform (seragam) sama ketika menguruskan pesakit Covid19,” jelasnya.

“Uniform itu hanya dipakai ketika mengimbas kad sebelum masuk bertugas dan selepas itu memakai baju yang lain serta pakaian perlindungan diri (PPE),” katanya.

“Sebelum memakai semula pakaian itu di akhir tugasan, kami akan mandi terlebih dulu sebelum pulang ke rumah,” tambahnya lagi.

“Malah, sejurus sampai ke rumah kami akan mandi sekali lagi dan baju itu akan terus dicuci bagi mengelak sebarang kuman atau virus menjangkiti individu di rumah,” sambungnya.

Malah, terdapat SOP khas untuk penjagaan pesakit Covid19 di hospital bagi mencegah penularan wabak itu kepada masyarakat umum.

“Tidak salah untuk bersikap paranoid demi menjaga kesihatan diri namun biarlah tindakan itu diikuti dengan pengetahuan yang betul,” katanya.

“Saya juga ada keluarga di rumah dan kerana itu saya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini kepada mereka,” jelasnya.

“Tujuh jam memakai PPE lengkap sudah terasa panasnya, apatah lagi memakai PPE yang diperbuat daripada plastik sampah,” kongsi Nurul Izzati mengenai pengalaman memakai PPE diperbuat daripada plastik sampah pada peringkat awal.

“Banyak yang dikorbankan petugas kesihatan ketika pandemik ini, bukan saja berpanas, malah ada yang tidak berjumpa keluarga lebih dua bulan bagi memastikan orang lain selamat,” ujarnya yang bertugas di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur.

“Tidak seperti dulu, masyarakat kini semakin tenang dan bersikap ambil mudah mengenai sesuatu perkara,” luahnya yang sudah lapan tahun bergelar jururawat.

“Peningkatan kes Covid19 sepatutnya membuka mata masyarakat supaya lebih berjaga-jaga,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro