Selalunya kita fikir minyak terpakai tiada nilai dan akan membuangnya selepas digunakan. Yela, nak simpan pun nak buat apa kan?

Namun, tahukah anda sebenarnya anda akan dibayar sebanyak RM1.20 setiap satu kilogram jika menghantar minyak masak terpakai ke pusat kitar semula Alam Flora (Buy Back Centre).

Ketua pegawai eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan, memberitahu bahawa tindakan memberi insentif RM1.20 setiap kilogram minyak masak terpakai adalah untuk menggalakkan orang ramai mengamalkan prinsip 5R, iaitu tolak, kurangkan, guna semula, kitar semula dan pemulihan.

“Minyak masak terpakai yang telah diproses berupaya dijadikan barang bernilai antaranya sabun, produk kosmetik dan lilin malah boleh ditukar menjadi biodiesel menerusi proses ‘transesterifikasi’ untuk kegunaan kenderaan berat seperti bas dan traktor,” jelasnya.

Sehingga Mei lalu, pihaknya berjaya mengumpul sebanyak 270 tan minyak masak terpakai dari kawasan Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur sejak dilaksanakan pada tahun 2013.

“Sekiranya ada permintaan tong daripada pengusaha restoran untuk mengumpul minyak masak ini, kami akan sediakan. Malah kami juga akan bantu untuk kutip tong berkenaan di restoran terbabit mengikut kuantiti minimum yang ditetapkan,” tambahnya.

Selain itu, inisiatif mengumpul minyak masak terpakai ini sebenarnya amat penting dalam menangani masalah longkang tersumbat dan berbau serta masalah pencemaran air.

Menurut Ketua Unit Jaringan Industri & Masyarakat Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Mohd Ali Hassan, memberitahu jika minyak masak digunakan lebih daripada had maksimum, ia boleh menyebabkan peningkatan kolestrol dalam tubuh badan dan penyakit jantung.

Jika anda mahu menghantar mintak masak terpakai, perkhidmatan mengumpul minyak kitar semula boleh didapati di Pusat Kitar Semula Alam Flora di Jalan Bunus 6, Kuala Lumpur dan Precint 9 di Putrajaya.

Sumber: Sirap Limau