Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, memberitahu bahawa lebih kurang setengah juta atau 433,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen secara berperingkat sejak 24 Mei lepas hingga 15 Jun nanti.

Sebelum ini, lebih sejuta peminjam PTPTN telah disenarai hitam sejak tahun 2000 tetapi 655,000 peminjam telah membuat bayaran dan dikeluarkan daripada senarai melalui kaedah biasa.

“Saya jangka semua urusan yang berkaitan akan dapat diselesaikan sebelum pertengahan Jun. Maka dengan itu saya percaya bahawa janji yang pertama berkaitan kementerian saya akan dapat kita kotakan,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Maszlee dan pihak kementerian memerlukan sedikit masa lagi untuk menunaikan janji penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

“Jadi kita harap peminjam PTPTN dapat terus membayar hutang mereka dan dapat bersabar. Berikan kami waktu untuk membuat kajian dan perincian,” tambahnya.

Selain itu, dia juga memberitahu bahawa pihak kementerian akan mengkaji status peminjam PTPTN yang tersenarai di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan akan membuat penyelarasan semula dengan CCRIS.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff, peminjam yang tersenarai di bawah CCRIS boleh datang ke kaunter PTPTN untuk susun semula bayaran hutang mereka mengikut kemampuan sama ada mampu bayar RM100 sebulan atau boleh dikurangkan kepada RM50 sebulan.

Malah, diskaun diberikan kepada peminjam PTPTN jika mereka mahu membuat bayaran penuh (20% diskaun), 10% diskaun untuk bayaran separuh pinjaman atau 10% untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau kad debit.

Sumber: mStar