Baru-baru ini, had umur perkahwinan ditetapkan minimum 18 tahun bagi lelaki dan perempuan beragama Islam dan bukan Islam di Johor seperti yang diselaraskan oleh peringkat pusat.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, memberitahu bahawa sebelum ini usia perkahwinan di negeri ini dibenarkan minimum 18 tahun untuk lelaki sahaja manakala 16 tahun untuk perempuan.

Gambar sekadar hiasan

Walau bagaimanapun, perkahwinan di bawah 18 tahun masih boleh diberi kelonggaran dengan alasan munasabah selain perlu mendapatkan kelulusan menteri besar.

“Dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang lepas (16 Okt di Putrajaya), kita (kerajaan) sudah tetapkan perkahwinan tidak kira Islam atau bukan Islam berumur 18 tahun ke atas tetapi boleh diberi kelonggaran, mestilah munasabah,” jelasnya.

“Dibolehkan juga berkahwin di bawah umur 18 tahun tetapi dengan mendapat kelulusan menteri besar atau ketua menteri,” tambahnya yang mengatakan had umur terbaru itu telah dibincangkan dengan Peguam Negara.

Sumber: Astro Awani