Walaupun dia seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU), Nursamawati Mahmud, 33 tahun, mahu menolong perniagaan keluarga dengan caranya tersendiri.

Wanita berasal dari Kampung Gelong Gajah, Pendang, Kedah, itu boleh menggunakan telefon bimbit pintar walaupun hanya menggunakan lidah untuk bersosial dan berkomunikasi.

utusan.com.my

“Saya bukan sahaja melayari laman sosial Facebook, Instagram dan WeChat untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan, namun kelebihan dimiliki saya gunakan untuk memperkenalkan produk sos dan kicap jenama Mahmudah keluaran keluarga kami bagi menambah pendapatan keluarga,” jelasnya.

Berkat usaha Nursamawati atau mesra dipanggil Kak Long membantu keluarga sejak tahun 2015, jualan produk ibunya meningkat sebanyak 4,000 botol sebulan.

“Saya wujudkan akaun saya dengan nama Kak Long Nursamawati untuk mengakses laman sosial. Pada mulanya rasa sakit lidah tapi lama kelamaan dah biasa dan semakin cepat saya menaip di papan kekunci dan memuat naik gambar sos dan kicap serta menerima tempahan,” katanya.

Kak Long merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik dan dia disahkan mengalami kecacatan fizikal sejak berusia setahun kemudian menyebabkan kaki dan tangannya mengerekot serta tidak boleh bergerak.

Menurut ibunya, Saudah Shaari, 55 tahun, anak istimewanya itu mahu melihat perniagaannya berjaya dan sentiasa mempromosikan jualan mereka di laman sosial menggunakan telefon bimbit pintar.

Selain itu, Kak Long juga selalu membantu adik-adiknya dalam pelajaran walaupun tak pernah bersekolah tetapi dia sangat rajin membaca buku sekolah adik-adiknya sehingga dia pandai.

“Kami bersyukur dikurniakan anak seperti Kak Long yang sentiasa menunjukkan sikap bertanggungjawab kepada keluarga,” tambahnya.

Semoga semangat dan usaha Kak Long menjadi contoh kepada golongan OKU supaya lebih bersemangat untuk menjalani kehidupan.

Sumber: mStar