GrabFood merupakan antara perkhidmatan hantaran makanan yang sering digunakan oleh rakyat negara ini telah mengumumkan kenaikan kos penghantaran daripada RM5 hingga RM9 bagi setiap pesanan bermula dua hari lepas.

Gambar sekadar hiasan

Peningkatan itu dilakukan GrabFood dalam usaha mereka meluaskan radius penghantaran dalam memenuhi permintaan pelanggan untuk memesan makanan daripada pelbagai pilihan restoran, lapor The Star.

Menurutnya, caj penghantaran pesanan dari restoran yang mempunyai jarak kurang atau masih dalam lingkungan pada 8 kilometer(km) kekal pada kadar RM5.

Selain itu, caj RM6 dikenakan bagi pesanan dari restoran-restoran berjarak sekitar 8 hingga 10 km sementara RM7 untuk pesanan dari kedai makan yang berada dalam lingkungan 10 hingga 12 km.

Gambar sekadar hiasan

Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas pengurusan GrabFood mengambil pertimbangan jarak perjalanan jauh yang perlu dilalui oleh penghantar GrabFood .

Berikutan itu, mereka turut mengumumkan pemberhentian semua pelan langganan bulanan dan Pelan Deluxe GrabFood bermula esok.

Gambar sekadar hiasan

Semua tawaran dalam Pelan GrabFood Deluxe yang dihentikan ialah 15 penghantaran percuma, tiga kupon RM10 dan baucar diskaun 40 peratus.

Walau bagaimanapun, pelanggan semasa masih boleh memperbaharui pelan mereka untuk kali terakhir dan ditawarkan kupon diskaun sebanyak 50 peratus.

Menurut pihak GrabFood, peningkatan caj penghantaran ini hanyalah sementara kerana syarikat berkenaan masih menilai semula keperluan pelanggan.

Sumber: Astro Awani