Bahang Piala Dunia semakin dirasai apabila tinggal lagi dua minggu saja sebelum ia bermula iaitu pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ramai yang tak sabar untuk menonton pasukan negara kegemaran masing-masing dengan membeli jersi dan membuat perancangan awal supaya tak terlepas dengan perlawanan bola yang bakal berlangsung nanti.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, melihat perkara ini sebagai peluang untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) meningkatkan jumlah tontonan dengan menyiarkan secara langsung Piala Dunia FIFA bulan depan.

“Kementerian saya telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar kami dapat kebenaran untuk menyiarkan Piala Dunia secara langsung pada 14 Jun nanti,” katanya.

Justeru itu, Gobind akan membangkitkan isu ini kepada Kabinet pada hari esok (Rabu) dan berharap akan mendapat jawapan positif daripada pihak Kabinet.

Difahamkan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga membuat permintaan yang sama termasuk beberapa pihak lain yang mahu melihat Piala Dunia secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Sumber: mStar