Malaysia sememangnya agak ketinggalan sedikit berbanding negara-negara luar apabila bercakap mengenai kualiti jalur lebar dan ini membuatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Gobind Singh Deo, akan berusaha untuk mewujudkan sistem jalur lebar yang ‘double the speed, half the price’ (dua kali lebih pantas pada separuh harga) untuk rakyat.

Pihaknya akan mencari punca kepada masalah yang dihadapi oleh syarikat telekomunikasi serta jalan penyelesaian untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di Malaysia.

berita.rtm.gov.my

“Kalau kita lihat jalur lebar di negara lain, perkhidmatan yang diberikan itu taraf berbeza dengan apa yang kita (Malaysia) ada, jadi tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh mencontohi sistem-sistem lain yang ada di luar negara. Itu adalah satu perkara yang saya akan cuba, juga sebahagian daripada pelan 100 hari,” ujarnya dalam rancangan Bicara Khas live di RTM, semalam.

Selain itu, dia juga bekerja keras untuk menjamin kebebasan media dengan melaporkan berita dengan tepat tanpa berat sebelah.

“Dalam Pakatan Harapan(PH) memang kita bersandarkan kepada gelombang kita mahu menegakkan sistem kebebasan lebih kepada semua pihak dan satu aspek yang penting ialah media,” tambahnya.

Malah, dia yakin bahawa rakyat negara ini telah matang untuk menonton debat di kaca televisyen bagi mendapatkan maklumat dan memahami isu semasa.

“Saya harap mereka(pihak pembangkang) diberikan ruang sepenuhnya untuk berbahas di Parlimen dan bawa isu-isu yang dekat dengan hati rakyat, kritik kerajaan kita sebagaimana perlu, kita tidak seharusnya mempunyai speaker yang menyekat pembangkang membawa isu-isu dan itu perbezaan kita dengan kerajaan terdahulu,” katanya yang mengalu-alukan kritikan daripada pihak pembangkang.

Sumber: mStar