Gigi yang ditemui di Gunung Raya, Pulau Langkawi sah milik arwah Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3 tahun, yang dilaporkan hilang daripada jagaan sepasang suami isteri di Kuarters Hospital Langkawi pada awal bulan ini.

Pengesahan itu dibuat hasil analisis Jabatan Kimia yang mendapati ia sepadan dengan sampel darah ibu mangsa.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supritendan Mohd Iqbal Ibrahim, memberitahu bahawa analisa darah yang terdapat di bantal dan toto dari rumah suspek turut berpadanan dengan profil DNA si mati.

“Laporan awal kimia mendapati gigi yang ditemui dari tempat kejadian adalah sah milik kanak-kanak Siti Nur Aisyah Aleya ni dan kita pun padankan dengan DNA ibunya,” ujarnya.

“Selain daripada itu titisan darah yang ditemui dekat bilik si mati dekat toto dia sama,” tambahnya.

Iqbal turut mengesahkan suspek lelaki akan didakwa jam sembilan pagi ini di Mahkamah Majistret Langkawi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Manakala suspek wanita yang merupakan jururawat di Hospital Sultanah Maliha Langkawi pula dibebaskan dengan jaminan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Sumber: Astro Awani