Selepas kita digemparkan dengan gempa bumi 6.4 magnitud melanda Jawa Timur dan Bali awal pagi ini, berita terbaru mengatakan tiga orang mangsa terkorban dalam kejadian tersebut.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia, gegaran di Jawa Timur berlaku di kedalaman 12 kilometer ke timur laut Situbondo dengan gegaran dapat dirasai di Banyuwangi, Bondowoso, Jember, hingga Malang dan turut dirasai sehingga ke Bali.

Difahamkan, tiga mangsa gempa yang telah meninggal dunia adalah Nuril Kamiliya, 7 tahun, H. Nadhar, 55 tahun, serta seorang lagi identitinya masih belum dikenalpasti. Punca kematian dikatakan mangsa telah dihempap rumah yang runtuh semasa sedang tidur.

Selain itu, gempa bumi dengan kekuatan 6.0 magnitud menggegarkan kawasan perairan kepulauan Bali awal pagi ini, lapor pusat pemantau gempa Amerika Syarikat, USGS.

Walau bagaimanapun, tiada kemusnahan teruk berlaku atau kejadian tsunami dilaporkan meskipun gegaran tersebut menyebabkan suasana panik dalam kalangan penduduk.

Sebelum ini, Indonesia telah dilanda gempa dengan kekuatan 7.5 magnitud bersama kejadian tsunami di Sulawesi, yang mengorbankan lebih 2,000 nyawa.

Sumber: Astro Awani