Akibat gemar memakan makanan manis semasa muda, gadis ini menyesal tidak menjaga kesihatan kerana kini dia menderita penyakit kencing manis hingga mengalami masalah penglihatan.

“Hampir semua makanan tular di media sosial terutama makanan manis dan karbohidrat tinggi saya akan cuba kerana beranggapan masih muda dan tidak berisiko menghidap penyakit,” ujar Sidah Omar Baki, 27 tahun.

“Namun, ia memakan diri apabila disahkan menghidap kencing manis ketika berusia 19 tahun pada 2012 sehingga mengalami masalah penglihatan selain terpaksa mengambil insulin dan menghidap penyakit darah tinggi,” jelas gadis berasal dari Kampung Gelugor Raja, Kuala Terengganu, Terengganu, itu.

Malah, Sidah terpaksa melupakan kerjayanya sebagai tukang jahit selepas menghidap penyakit tersebut dan terpaksa bergantung hidup dengan ibunya, Zaipah Mohd Adam, 48 tahun, dan adik bongsunya, Abdul Hadi, 21 tahun, yang bekerja sebagai pembantu stor di pasar raya.

“Saya akui cuai dalam menjaga kesihatan sejak dari usia belasan tahun apabila mencuba apa sahaja makanan tular dengan kebanyakan makanan itu manis dan mempunyai kandungan karbohidrat tinggi,” katanya.

“Selepas disahkan menghidap penyakit kencing manis serius sehingga terpaksa mengambil insulin selain penyakit darah tinggi, saya hanya menjalani rawatan susulan di Klinik Kesihatan Hiliran(KKH) selama setahun sahaja kerana sibuk berkerja dan tidak mengambil ubat-ubatan disarankan doktor,” tambahnya.

FB Cik Sidah

Menurutnya, dia mulai menjalani rawatan susulan pada Julai lalu selepas mengalami masalah penglihatan sehingga menyebabkan dia tidak mampu menunggang motosikal dan bekerja.

Malah, matanya mula menjadi kabur dan dia segera membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah(HSNZ) sebelum doktor mengesahkan ia berpunca daripada penyakit kencing manis.

“Bermula dari situ, saya menjalani kehidupan sihat termasuk menjaga makan seperti mengurangkan pengambilan karbohidrat, makanan berlemak dan manis,” sambungnya.

Difahamkan, Sidah bukanlah datang dari keluarga yang senang dan bantuan diterima ibunya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) sebanyak RM200 tidak cukup untuk menampung mereka sekeluarga selain adiknya bekerja menyara mereka tiga beranak.

“Tiada perkara lain yang saya harapkan selain penglihatan Sidah kembali pulih seperti sedia kala. Saya bimbangkan masa depannya. Kami sangat mengharapkan bantuan daripada semua pihak,” ujar ibu Sidah, Zaipah.

Jika anda mahu membuat sumbangan kepada Sidah sekeluarga, anda boleh menyumbang ke akaun Maybank 163019794719 atau menghubunginya di talian 013-9711257.

Sumber: Harian Metro