Seorang mualaf menjadi individu pertama memeluk Islam di Pusat Gelandangan Kem Wawasan Gunung Pulai, Kulai, Johor.

“Hati saya sangat gembira dapat memeluk Islam,” luah Muhammad Safirul Abdullah, 35 tahun, atau nama asalnya S Kanna yang memeluk Islam sehari sebelum Ramadan tiba.

Menurutnya, sejak dua tahun lepas lagi dia menyimpan keinginan mahu menjadikan ajaran Islam sebagai pegangan hidup.

“Sebenarnya sudah lama saya hendak memeluk Islam, baru kali ini hasrat dan keinginan saya tercapai. Saya sangat gembira mereka di sini banyak membantu, saya masuk Islam dengan rela tanpa paksaan,” ujarnya.

“Hari pertama puasa memang rasa susah tetapi saya berjaya menahan lapar dan haus sehingga waktu berbuka. Dari Ramadan pertama, saya yakin boleh berpuasa, sekarang sudah biasa kalau lapar dan dahaga,” jelasnya.

“Pihak sini banyak membantu mualaf seperti saya. Di pusat ini, ada pelbagai program pengisian yang dijalankan untuk mereka yang beragama Islam oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), saya belajar solat, belajar mengaji,” katanya.

Tambahnya, nama Muhammad Safirul dipilih bagi memperingati nama kawan baiknya yang sudah meninggal dunia.

“Saya di dunia ini tiada siapa, mak ayah sudah tiada, saya anak tunggal. Kehidupan di sini jauh lebih baik dari dulu kerana di sini lebih teratur, banyak saya belajar,” sambungnya yang telah menjadi gelandangan sejak tiga tahun lalu.

Sumber: Harian Metro