Ganjaran RM100 akan diberikan kepada penduduk Kuala Langat yang memberi maklumat mengenai kegiatan pembuangan sampah secara haram yang semakin berleluasa.

Gambar sekadar hiasan

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat(MDKL), Mohamad Zain A Hamid, menjelaskan bahawa pemberian insentif itu terbuka kepada warga Malaysia dan akan diberikan sebaik saja pelaku kesalahan membayar kompaun kepada pihak berkuasa tempatan(PBT) tersebut.

Menurutnya, ganjaran itu hanya akan diberikan apabila kesalahan itu dilakukan membabitkan kenderaan berat seperti lori bermuatan satu tan ke atas.

“Pemberi maklumat perlu mengisi borang yang disediakan di Unit Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MDKL serta bersetuju menjadi saksi di mahkamah jika kes berkenaan dibawa ke peringkat perbicaraan,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Sebagai pembuktian, pemberi maklumat perlu mengambil gambar, lokasi, nombor pendaftaran kenderaan, tarikh kejadian, masa kejadian yang jelas bila aktiviti pembuangan sampah itu dilakukan,” jelasnya.

Tambahnya, maklumat yang disampaikan kepada pihaknya haruslah tepat dan sahih sebelum ganjaran diberikan.

Selain itu, pihaknya juga akan meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan setiap hari hasil kerjasama orang awam dan penduduk setempat.

“MDKL sentiasa meneruskan usaha bagi menangkap serta mendakwa mereka yang didapati membuang sampah haram. Hanya dengan tindakan maksimum tanpa kompromi ini diharap dapat membebaskan daerah ini daripada masalah pembuangan sampah haram,” katanya.

Sumber: Harian Metro