Selepas gangguan bekalan air berlaku di Klang pada minggu lepas, terbaru gangguan bekalan air dijangka berlaku di 26 kawasan sekitar bandar raya Shah Alam kerana satu pam utama di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3) mengalami kerosakan.

bharian.com.my

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad, menyatakan bahawa akan berlaku penurunan paras kolam berdasarkan bacaan paras kolam dan sistem agihan.

“Ia sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air secara berperingkat di beberapa kawasan bermula pukul dua petang ini,” ujarnya.

“Kawasan yang terjejas antaranya Bukit Kuda, Jalan Batu Tiga Lama, Seksyen 7, Seksyen 9, Seksyen 2, Seksyen 3, Seksyen 4, Seksyen 5, Seksyen 6, Seksyen 8, Seksyen 10, Seksyen 11 dan Seksyen 12,” katanya.

“Selain itu, ia membabitkan kawasan Seksyen 13, Seksyen 14, Seksyen 15, Seksyen 16, Padang Jawa, Seksyen 17, Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 20, Seksyen 23, Seksyen 24, Seksyen 25, Taman Putramas dan Universiti Teknologi Mara(UiTM) Shah Alam Kampus Induk,” sambungnya.

Menurutnya, penduduk yang terjejas dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan pihaknya juga akan menggerakkan bantuan lori tangki air ke kawasan berkenaan.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan mengambil segala tindakan yang perlu bagi mengurangkan impak gangguan serta mempercepatkan pemulihan,” jelasnya.

“Sila rujuk aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my untuk maklumat dan status terkini yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Sumber: Harian Metro