Mulai 1 Januari tahun depan, pelarasan gaji minimum akan dilaksanakan di seluruh negara, menurut pejabat Perdana Menteri.

Untuk pengetahuan anda, kadar minimum gaji baru yang ditetapkan ialah pada RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam.

Gambar sekadar hiasan

“Setelah menimbang syor MPGN dari pelbagai sudut, Kerajaan buat pertama kalinya bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak iaitu RM1,050 sebulan/ RM5.05 sejam berkuat kuasa 1hb Januari 2019,” tulis satu kenyataan media daripada kerajaan.

Difahamkan, pihak kerajaan turut memutuskan untuk tidak memberikan sebarang subsidi kepada mana-mana majikan kerana kekangan kewangan semasa negara.

Jelasnya, gaji minimum wajar dinaikkan secara berkala pada tahun-tahun akan datang agar majikan kecil tidak menutup perniagaan akibat kos operasi tinggi yang menyebabkan terpaksa memberhentikan pekerja.

Malah, pihak majikan dan peniaga juga diseru supaya tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan susulan kenaikan gaji minimum ini.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut dimohon untuk memantau perkara tersebut.

Kadar gaji minimum di Semenanjung adalah RM1,000 manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula hanyalah RM920 pada masa ini.

Sumber: Astro Awani